top of page

Apakah itu CCRIS dan CTOS?

  • Iman
  • Dec 5, 2019
  • 3 min read

Updated: Dec 13, 2019

Pinjaman anda tidak lulus disebabkan oleh rekod buruk CCRIS atau CTOS”. Pernahkah anda ditanya soalan yang sebegini oleh pegawai bank? Dan anda mula fikir, “Apakah CCRIS dan CTOS?”.


Sebelum kami jawab soalan-soalan ini, marilah kami fahami dahulu bagaimana bank atau institusi kewangan membuat keputusan untuk meluluskan pinjaman. Salah satu faktor yang mereka lihat adalah sejarah kredit, iaitu rekod pembayaran pinjaman anda sebelum ini – adakah anda membayar tepat pada masanya? Atau terdapat kelewatan atau tunggakan dari segi pembayaran balik pinjaman? Seperti yang anda andaikan, peluang untuk mendapatkan kelulusan pinjaman adalah lebih tinggi jika pembayaran pinjaman seblum ini adalah tepat masa.

Bagaimanakah pihak bank atau institusi kewangan dapatkan rekod kredit anda? Mereka dapatkan maklumat ini daripada laporan kredit. Di Malaysia, terdapat beberapa agensi pelaporan kredit, ini termasuklah;

Biro Kredit yang diselia oleh Bank Negara Malaysia untuk mengawasi CCRISCTOS dan RAM Credit Information yang didaftar dibawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010


Apakah itu rekod CCRIS?


CCRIS (Central Credit Reference Information System) adalah rekod yang diselia oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia yang mengawasi corak pembayaran pinjaman anda.

Rekod CCRIS termasuklah:

Butiran mengenai pinjaman anda dengan setiap institusi kewangan di Malaysia (ini termasuk semua bank dan institusi kewangan bukan bank seperti AEON Credit atau PTPTN)Rekod pembayaran pinjaman bagi tempoh 12 bulan yang lepas termasuk sebarang tunggakanSebarang pinjaman ‘Special Attention’ atau pinjaman di bawah pemerhatian bankPinjaman yang telah melalui penjadualan dan penstrukturan semula

Apabila anda membuat permohonan pinjaman bank (sama ada pinjaman perumahan atau peribadi), bank akan menyemak rekod CCRIS anda untuk mengakses corak pembayaran anda.

Walaupun setiap bank mempunyai kriteria kredit yang berbeza, anda boleh dianggap mempunyai rekod CCRIS yang kurang baik jika pembayaran anda tertunggak selama 2-3 bulan dalam tempoh 6 bulan yang lepas atau anda mempunyai pinjaman di bawah pemerhatian bank (SAA – Special Attention Account). Ini kemungkinan besar akan menjejaskan kelulusan pinjaman anda.

Bagi pinjaman koperasi di mana pembayaran adalah melalui potongan gaji, peluang kelulusan pinjaman anda lebih tinggi walaupun anda mempunyai 2-3 bulan bayaran tertunggak.

Anda boleh semak rekod kredit individu secara percuma. Anda hanya perlu lawati portal eCCRIS, mengunakan kios CCRIS di BNMLINK Kuala Lumpur, Pejabat BNM dan cawangan-cawangan AKPK.


Apakah itu CTOS?


Secara ringkasnya, CTOS adalah kad laporan kredit anda.

CTOS memperoleh maklumat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), penerbitan prosiding undang-undang, maklumat akhbar dan selainnya. Laporan CTOS mengandungi status muflis individu, status kes, tindakan undang-undang, pemilikan perniagaan dan selainnya.

Sebarang kegagalan untuk membayar balik pinjaman, bil utiliti ataupun bil telefon, serta apa-apa tindakan litigasi terhadap anda termasuklah status bankrap akan tersenarai dalam laporan CTOS. Scenario sebegini akan mengurangkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman.

Untuk mendapatkan rekod percuma Laporan Asas Kredit CTOS, anda hanya perlu mohon untuk mendapatkan ID pengguna CTOS. Kemudian, anda akan menerima laporan CTOS daripada aplikasi CTOS.


Apakah RAMCI?


RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI) adalah agensi pelaporan kredit sama seperti CTOS. Laporan RAMCI melaporkan informasi kredit dan skor kredit.

Ini termasuklah maklumat perundangan dan kebankrapan, ‘trade bureau’ (maklumat bukan perbankan) and jika ada carian laporan yang telah dilakukan. Maklumat ini mungkin penting kerana ia dapat memberi pengesanan awal tentang penipuan identiti. Laporan Asas RAMCI berharga RM10.60.

Apakah perbezaan antara CCRIS, CTOS dan RAMCI?

Secara amnya, CCRIS, CTOS dan RAMCI adalah sama di mana semua laporan ini melaporkan sejarah kredit individu. Pihak bank akan membuat penilaian kredit bukan sahaja berdasarkan laporan CCRIS tetapi juga laporan CTOS/RAMCI.

Tapi, terdapat perberzaan antara CCRIS dengan CTOS atau RAMCI. Perbezaan utamanya adalah CCRIS diselia oleh Bank Negara. CTOS dan RAMCI diselia oleh syarikat persendirian. Selain itu, CCRIS dapatkan maklumat kredit daripada institusi kewangan tetapi CTOS dan RAMCI dapatkan maklumat daripada sumber awam yang juga melaporkan tungakkan daripada syarikat utiliti, peminjam wang berlesen atau syarikat penyedia skim bayaran ansuran seperti Courts, Singer, Coway dan lain-lain.


Adakah saya akan disenarai hitam oleh CCRIS atau CTOS?


Tidak, CCRIS dan CTOS tidak akan menyenarai hitam anda.  Mereka hanya akan memberikan rekod kredit anda kepada institusi kewangan termasuk koperasi untuk penilaian kredit sebelum mereka meluluskan permohonan pinjaman anda. Laporan CCRIS atau CTOS adalah satu rekod sahaja untuk memudahkan institusi kewangan membuat penilaian dan keputusan untuk meluluskan pinjaman.


Apakah yang perlu saya lakukan jika rekod CCRIS atau CTOS saya kurang baik?


Jangan risau, anda masih ada peluang lagi untuk membersihkan rekod CCRIS atau CTOS anda. Baca artikel kami tentang 7 cara untuk membersihkan rekod negative CCRIS dan cara untuk meningkatkan peluang kelulusan pinjaman.

Untuk peminjam yang mempunyai rekod buruk CCRIS atau CTOS dan berada dalam situasi yang amat memerlukan wang, ada sesetengah pinjaman koperasi yang menerima permohonan sebegini terutamanya untuk peminjam yang bekerja di sektor kerajaan. Peluang kelulusan untuk pinjaman koperasi adalah lebih tinggi kerana pembayaran adalah melalui potongan gaji. Maka, risiko pembayaran balik adalah lebih rendah. Oleh itu, pinjaman koperasi adalah cara yang selamat untuk mendapatkan pembiayaan kecemasan. Ada pemberi pinjaman wang yang mengatakan bahawa mereka boleh menerima peminjam yang mempunyai rekod buruk CCRIS atau CTOS. Berhati-hatilah dan fahami terma dan syarat pinjaman ini sebelum menerima tawaran mereka.

Cara yang paling baik dan selamat adalah untuk mengekalkan rekod CCRIS dan CTOS yang baik supaya anda boleh dapatkan pinjaman bank dengan lebih murah.

 
 
 

Comments


© 2023 by Pusakop

bottom of page