top of page

7 Cara untuk Capai Matlamat Kewangan pada tahun 2020

  • Iman
  • Dec 5, 2019
  • 3 min read

Updated: Dec 10, 2019

Ramalan keadaan ekonomi di Malaysia untuk tahun hadapan kelihatan meyakinkan dengan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar 4.8% yang lebih tinggi daripada 4.7% pada tahun 2019. Sebahagian daripada “Visi Kemakmuran Bersama 2030” menekankan pihak kerajaan mengenai pertumbuhan ekonomi mampan, peningkatan pendapatan dan perbelanjaan berhemah walaupun berdepan dengan situasi kewangan yang sukar.

Rakyat Malaysia, tidak kira generasi apa sekalipun, perlu mempunyai visi yang sama untuk Tahun Baru yang bakal tiba. Jika anda tidak mampu memperbaiki kedudukan kewangan anda pada tahun 2019, itu tidak mengapa. Anda boleh bermula semula dan gunakan cara yang betul untuk mencapai sasaran kewangan pada tahun 2020.

1. Sediakan Sasaran Kewangan yang Jelas

Kejayaan sebarang rancangan kewangan bermula dengan pengurusan wang yang teliti. Mungkin punca kegagalan anda tahun ini adalah kerana sasaran kewangan yang kurang jelas. Jika anda mempunyai peruntukan belanjawan, pasti anda tidak akan berbelanja melebihi peruntukan tersebut.

2. Kaji Semula Belanjawan Anda

Menyediakan belanjawan adalah perkara yang wajib dilakukan sewaktu menyediakan perancangan kewangan. Namun begitu, anda tidak perlu ubah belanjawan anda secara menyeluruh. Anda cuma perlu kaji dan perbaiki. Apabila anda kaji semula belanjawan tersebut, pastikan anda senaraikan perbelanjaan anda dengan sepenuhnya daripada keperluan asas, perbelanjaan berulang dan hutang tertunggak.

Sebagai contoh, anda boleh gunakan petua 50/30/20 yang terkenal. Anda perlu membahagikan pendapatan bulanan anda mengikut kategori berikut:

i) 50% – Komitmen

Kategori ini merupakan keperluan asas seperti cagaran atau sewa, kenderaan, insurans, kos kesihatan dan lain-lain. Secara amnya, ia adalah perkara penting yang anda tidak boleh hidup tanpa adanya.

ii) 30% – Keperluan

Kategori ini pula termasuk perkara yang anda mahu. Ini akan jadi agak mengelirukan kerana perkara tersebut mungkin juga sesuatu yang anda boleh hidup tanpa adanya. Contohnya, makan di luar adalah pilihan. Anda masih boleh pilih untuk masak di rumah. Contoh lain adalah seperti hiburan, penjagaan peribadi, percutian dan sebagainya.

iii) 20% – Simpanan

Akhir sekali, sebahagian daripada pendapatan anda haruslah dimasukkan ke bahagian simpanan. Anda boleh pilih sama ada untuk simpan di dalam bank atau melabur. Ataupun, bina simpanan dengan membayar pinjaman pendidikan atau skim persaraan. Harus diingatkan bahawa adalah penting untuk membina dana kecemasan.

Jika perlu, anda boleh bahagikan belanjawan mengikuti hari, minggu atau bulan. Tujuannya adalah untuk melatih disiplin kewangan dengan mengikuti belanjawan sepanjang tahun. Di samping itu, ini akan memudahkan anda menjejaki perbelanjaan dan lakukan sebarang penyelarasan.

3. Berbelanja dengan Berhemah

Pastikan perbelanjaan anda selari dengan pendapatan anda bagi memastikan anda masih mempunyai wang pada setiap hujung bulan. Jika tidak, maka anda perlu kurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Maka dengan itu, anda sepatutnya akan mempunyai lebihan wang setiap bulan. Memiliki lebihan wang pada akhir tahun adalah tanda perbelanjaan berhemah.

4. Selesaikan Hutang

Hutang merupakan halangan kebebasan kewangan yang utama. Lagi banyak anda berhutang, lagi tinggi peluang anda untuk gagal. Sediakan jadual tahunan untuk selesaikan pinjaman anda.

Jika tidak boleh, maka selesaikan dahulu pinjaman yang berfaedah tinggi. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk membuat pinjaman penyatuan hutang agar anda mempunyai jumlah bayaran balik yang tetap. Namun begitu, pastikan anda mengambil pinjaman daripada pemberi pinjaman yang menawarkan faedah paling berpatutan.

5. Berjimat selagi Mampu

Apabila anda sudah bebas daripada menanggung kadar faedah pinjaman yang tinggi, elakkan daripada mendapatkan pinjaman baru dan kurangkan penggunaan kad kredit. Simpan wang selagi ada peluang. Segelintir individu mempunyai tabiat menyimpan wang dengan jumlah sedikit. Jumlah tersebut kemudian ditingkatkan dari masa ke semasa.

Contohnya, anda boleh simpan RM10 pada minggu pertama, RM15 pada minggu kedua dan dalam gandaan 5 pada minggu seterusnya. Anda akan dapat lihat sendiri kesannya adalah memberansangkan. Cara ini akan bantu anda bina tabiat sehingga anda telah bersedia untuk menyimpan dengan lebih banyak.

6. Cari Sumber Pendapatan Berbeza

Berfikir seperti seorang usahawan. Daripada membelanjakan wang terhadap perkara tidak berfaedah, cari sumber kewangan berbeza untuk tingkatkan pendapatan. Apa pun jumlah yang anda boleh tambah kepada gaji bulanan adalah untuk tingkatkan jaminan ekonomi anda. Aliran wang masuk adalah lebih baik daripada aliran wang keluar.

7. Fikirkan Pelaburan

Langkah terakhir untuk memperoleh kejayaan kewangan bermula dengan pelaburan. Tidak akan ada faedah ketara jika anda kumpul wang tetapi tidak membiarkan wang anda berkembang.

Di Malaysia, akaun pelaburan yang terkenal adalah deposit tetap, saham, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan dana bersama.

Amanah Saham dan Amanah Saham Bumiputera adalah akaun pelaburan untuk Bumiputera yang menawarkan kadar daripada 6% sehingga 10% setiap tahun.

Faktor Kejayaan

Sasaran kewangan anda perlu jelas, boleh diukur, boleh dicapai, realistik dan mempunyai garis masa yang sesuai. Anda hanya boleh mencapai objektif kewangan dan memperoleh kemakmuran pada tahun 2020 dengan kesungguhan dan disiplin. Semua ini adalah faktor yang dapat menjamin 100% kejayaan.




 
 
 

Comentarios


© 2023 by Pusakop

bottom of page